KEMAMAN – Jabatan Perikanan berjaya mengesan seterusnya menahan dua bot nelayan Vietnam yang menangkap ikan secara haram di perairan Kuala Terengganu dekat sini menggunakan Sistem Pemantauan Vesel Jabatan Perikanan (Enav) semalam.
Kedua-dua bot berkenaan dikesan sedang mencuri hasil laut negara menggunakan pukat tunda gading pada kedudukan 70 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu pada pukul 9 pagi.
Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, kedua-dua bot nelayan asing tersebut dikesan sistem Enav yang telah dipasang bagi penguatkuasaan maritim negara sejak bulan Februari lalu.
“Sewaktu cuba memintas, salah sebuah bot nelayan Vietnam berkenaan tiba-tiba bertindak agresif dengan cuba melanggar bot penguat kuasa kami.
“Pemeriksaan mendapati kedua-dua bot itu tidak memiliki permit sah untuk menangkap ikan di perairan negara,” katanya sidang akhbar di pada Pusat Tahanan Vesel Perikanan di Geliga di sini hari ini.
Wan Muhammad Aznan berkata, kesemua 16 nelayan warga Vietnam turut ditahan selain menyita 20 tan hasil laut melibatkan rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM3.5 juta.- KOSMO ONLINE