fbpx

Salman Rushdie tenat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail 13 Oktober 2019 menunjukkan Rushdie bergambar bersama bukunya, Quichotte dalam sesi fotografi di London. - AFP

WASHINGTON – Pengarang Britain, Salman Rushdie terpaksa menggunakan mesin ventilator dan berisiko hilang satu mata selepas ditikam berulang kali dalam satu acara kesusasteraan di negeri New York kelmarin.

Susulan serangan sejurus sebelum pukul 11 pagi (waktu tempatan) itu, Rushdie dibawa menaiki helikopter ke hospital dan memerlukan pembedahan kecemasan, kata ejennya dalam satu kenyataan kepada akhbar The New York Times.

“Rushdie berkemungkinan besar hilang satu mata. Saraf tangannya rosak teruk dan hatinya juga rosak akibat ditikam,” kata ejen penulis itu, Andrew Wylie sambil menambah, Rushdie tidak boleh bercakap.

Polis negeri New York mengenal pasti suspek terbabit sebagai Hadi Matar, 24, dari Fairfield, New Jersey, namun motif serangan masih belum jelas.

Polis berkata, Rushdie ditikam di leher dan perut. Sebilangan penonton bergegas ke pentas dan menjatuhkan suspek sebelum seorang anggota polis dalam acara tersebut menangkapnya.

Serangan berlaku di Institusi Chautauqua yang menjadi tuan rumah kepada program seni di kejiranan tepi tasik, 70 kilometer ke selatan bandar Buffalo.

RUSHDIE dibawa ke sebuah helikopter dekat Institusi Chautauqua sebelum diterbangkan ke sebuah hospital kelmarin. – AFP

Carl LeVan yang merupakan profesor politik dari Universiti American memberitahu agensi berita AFP bahawa dia melihat suspek berlari naik ke pentas di mana Rushdie sedang duduk dan menikamnya berulang kali dengan ganas.

“Suspek menikam Rushdie seberapa banyak yang boleh sehingga dia ditewaskan. Suspek mahu membunuhnya,” kata LeVan.

Menurut ahli akademik berkenaan, insiden itu menyebabkan dia gementar kerana berlaku di Chautauqua yang merupakan lokasi selamat untuk kebebasan ekspresi kreatif.

Seorang saksi lain, John Stein berkata, penyerang mula menikam sebelah kanan Rushdie termasuk kepala dan leher, manakala darah memancut keluar.

Rushdie, 75, mencipta nama di bidang kesusasteraan  menerusi novel keduanya, Midnight’s Children dalam tahun 1981 yang memenangi anugerah berprestij Britain, Hadiah Booker.

Bagaimanapun, bukunya pada tahun 1988, The Satanic Verses mengundang kemarahan umat Islam dan mencetuskan fatwa oleh pemimpin revolusi Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini supaya dia dibunuh.

Orang Islam menganggap novel itu menghina Nabi Muhammad.

Rushdie yang lahir dalam keluarga Islam dan kini merupakan seorang ateis, terpaksa menyembunyikan diri sehingga hari ini.

Dia diberikan perlindungan polis oleh kerajaan Britain susulan cubaan membunuh penterjemah dan penerbitnya.

Rushdie hidup bersembunyi selama hampir 10 tahun dengan berulang kali berpindah rumah dan tidak boleh memberitahu tempat tinggalnya kepada anak-anak.

Dia hanya mula keluar daripada persembunyian pada akhir 1990-an selepas Iran menyatakan tidak akan menyokong pembunuhannya pada 1998.

Kini tinggal di New York, Rushdie menjadi penyokong kuat kebebasan bersuara, malah mempertahankan majalah Perancis, Charlie Hebdo selepas kakitangannya ditembak oleh kumpulan Islam di Paris pada  2015.

Majalah itu menyiarkan kartun Nabi Muhammad yang mengundang kemarahan orang Islam di seluruh dunia.

Ancaman dan boikot berterusan terhadap acara kesusasteraan yang dihadiri oleh Rushdie, manakala penyampaian darjah kehormat kepadanya dalam tahun 2007 mencetuskan protes di Iran dan Pakistan. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI