Masalah kewangan pastinya memberi bebanan kepada seseorang individu, sekali gus membuatkan seseorang itu sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang bagi meneruskan hidup.
Namun, berbeza pula kisahnya dengan seorang warga emas di Thailand apabila bebanan kewangan yang dihadapinya menyebabkan dia sanggup melakukan jenayah mencuri, bukan atas desakan hidup, sebaliknya dia sengaja mencari ‘nahas’ agar dipenjarakan supaya dia tidak perlu lagi meneruskan kehidupan normal di luar.
Kisah seorang lelaki berusia 60 tahun yang hanya dikenali sebagai Phichit itu menjadi tular di Thailand apabila dia mengaku sengaja melakukan jenayah curi agar dia dimasukkan ke penjara.
Phichit pada petang 29 Julai yang lalu dengan sengaja telah mencuri tiga biji sabun buku berharga THB17 (RM2.14) dari sebuah farmasi di wilayah Chonburi, selatan Bangkok.
Ketika kejadian, dia yang memakai kemeja-T berwarna hijau bersama topi berwarna hitam telah ditahan oleh seorang pekerja di farmasi tersebut selepas mendapati lelaki itu mencuri daripada premisnya.
Menurut laporan laman Oddity Central juga, premis tersebut telah memberikan amaran yang jelas berkenaan jenayah mencuri di situ, yang mana sekiranya ditangkap, pelaku akan berdepan bayaran saman sehingga 30 kali ganda daripada jumlah barang yang dicuri dan juga hukuman penjara.
Oleh kerana kasihankan lelaki itu, pekerja farmasi yang tidak didedahkan identitinya itu bersedia untuk memaafkan dan melepaskan Phichit tanpa mengambil sebarang tindakan undan-undang.
Malah, seorang pejalan kaki di kawasan farmasi tersebut juga turut bersetuju untuk membayar jumlah kecurian yang telah dilakukan Phichit, namun lelaki itu menolaknya.
Phichit sebaliknya meminta pekerja farmasi itu untuk menghubungi polis dan membiarkan dirinya ditangkap serta dipenjarakan.
Ketika polis tiba di lokasi kejadian dan menyoalnya, lelaki warga emas itu mengakui dia sengaja mahu dirinya dipenjarakan kerana dia tidak mahu lagi hidup dalam serba kekurangan.
“Saya sengaja mahu dipenjarakan kerana jika saya dipenjarakan, saya akan diberi makanan percuma sebanyak tiga kali sehari selain boleh bersosial dengan orang lain.
“Ia adalah jauh lebih baik berbanding meneruskan kehidupan saya di sini di jalanan, yang mungkin menyebabkan saya mati kebuluran,” ujarnya.
Kejadian tersebut menunjukkan situasi yang dihadapi warga Thailand ketika ini, yang mana kadar inflasinya adalah yang tertinggi sejak 2008.
Kejadian tersebut bukanlah kejadian pertama membabitkan individu yang sengaja mencuri atau melakukan jenayah bagi membolehkan dirinya dipenjarakan.
Sebelum ini, seorang lelaki warga Amerika Syarikat dengan sengaja melakukan cubaan untuk merompak sebuah bank supaya dia dapat melarikan diri daripada isterinya yang amat kuat membebel.
Selain itu, seorang lelaki lain juga pernah merompak sebuah bank sejurus selepas dibebaskan daripada hukuman penjara selama 20 tahun akibat tidak tahan dan tidak mampu membiasakan diri untuk menjalani kehidupan normal di luar penjara.