fbpx

Mahkamah: Rayuan akhir Najib mula didengar esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib Razak

PUTRAJAYA – Bermula esok rayuan akhir Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn. Bhd. akan didengar Mahkamah Persekutuan di sini bermula 15 hingga 26 Ogos ini.

Panel hakim yang akan mendengar rayuan akhir Ahli Parlimen Pekan itu dijangka akan didengar Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang akan mengetuai panel hakim di mahkamah tersebut.

Pada prosiding esok juga, panel-panel akan memutuskan sama ada pendengaran rayuan itu dapat ditangguhkan atau tidak apabila mahkamah pada 29 Julai lalu menolak permohonan Najib dan barisan peguam baharunya untuk menangguhkan prosiding.

Ia kerana, barisan peguam baharu Najib iaitu Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) memohon kes ditangguhkan kerana perlu meneliti semua dokumen kes sebelum berhujah pada pendengaran rayuan itu.

Bagaimanapun terdapat sedikit perkara yang tidak diduga apabila minggu lalu pasukan peguam baharu Najib yang diketuai oleh peguam senior Hisyam Teh Poh Teik menyatakan, akan menarik diri daripada mewakili Najib sekiranya mahkamah tidak membenarkan penangguhan dan masih memutuskan untuk meneruskan pendengaran rayuan.

Namun sejurus selepas dilaporkan media mengenai perkara itu tetuan tersebut menafikan pihaknya akan menarik diri daripada mewakili Najib dalam rayuan akhirnya sekiranya Mahkamah Persekutuan tidak memberikan sebarang penangguhan pendengaran itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan tetuan itu turut menyatakan, firma guamannya juga tidak pernah mengeluarkan kenyataan untuk berbuat demikian sewaktu pengurusan kes itu di Mahkamah Persekutuan.

Terdahulu melalui surat daripada Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan sebelum ini kepada firma guaman tetuan baharu itu dinyatakan bahawa tarikh pendengaran rayuan tetap akan bermula 15 Ogos ini.

Sebelum ini, pada 25 Julai lalu, Najib secara mengejut telah memberhentikan khidmat peguam utama kesnya, yang juga peguam terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada mewakilinya dalam rayuan akhir kes itu.

Keputusan memberhentikan Muhammad Shafee dibuatnya selepas berunding dengan peguam di Singapura dan peguam bela kanan India.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, penukaran barisan peguam itu dilakukan selepas Queen’s Counsel (peguam kanan dari United Kingdom), Jonathan Laidlow tidak diterima masuk untuk mewakilinya.

Najib mengesahkan pelantikan Tetuan ZIST sebagai peguamcara dan Kaunsel (peguam), Hisyam Teh Poh Teik sebagai peguam utama serta Liew Teck Huat dan Rueben Mathiaravanam sebagai peguam bersama.

Berikutan perubahan dalam barisan peguam pembelaan, Najib turut memohon untuk menangguhkan pendengaran rayuan akhir kes di Mahkamah Persekutuan atas alasan barisan peguam baharu dilantik mengambil alih kes rayuan berkenaan.

Pada 21 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Queen’s Counsel (QC) atau Peguam Diraja dari United Kingdom, Jonathan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan akhir kes berkenaan.

Sebelum itu, pada 25 Januari lalu, Najib melalui Muhammad Shafee dalam sepucuk surat dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara memohon supaya Najib dibenarkan untuk diwakili seorang QC.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta dan memerintahkan bekas Perdana Menteri itu dipenjara 12 tahun dan didenda sebanyak RM210 juta.

Pada 8 Disember tahun lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI