fbpx

Lapangan Terbang Canberra ditutup akibat insiden tembakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis menahan suspek sejurus insiden tembakan berlaku di Lapangan Terbang Canberra, semalam. -Facebook

CANBERRA – Lapangan Terbang Canberra di Australia ditutup sementara hari ini susulan insiden tembakan yang dilepaskan seorang lelaki di ruang legar daftar masuk terminal, lapor akhbar The Sydney Morning Herald.

Polis Persekutuan Australia, ACT Policing memaklumkan bahawa pasukan itu dikerah ke lapangan terbang tersebut kira-kira pukul 1.30 tengah hari (waktu tempatan) sejurus menerima laporan mengenai tembakan di bangunan terminal utama.

Menurut jabatan tersebut, seorang suspek lelaki ditahan dan sepucuk senjata api ditemui. Tiada kecederaan dilaporkan berlaku.

Polis berkata, pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati individu yang ditahan itu dipercayai satu-satunya suspek yang bertanggungjawab dalam kejadian tersebut.

Sebuah klip video yang dirakam di lapangan terbang itu menunjukkan polis menahan seorang lelaki sambil disaksikan oleh penumpang dari bahagian terminal lain.

Seorang penumpang yang hanya dikenali sebagai Alison berkata, dia baru sahaja memasukkan bagasinya ke ruang pemeriksaan keselamatan apabila kejadian itu berlalu.

“Kami berada dalam kawasan kawalan keselamatan ketika mendengar bunyi tembakan. Saya menoleh dan kelihatan seorang lelaki berdiri sambil memegang pistol menghala ke arah tempat kereta menurunkan penumpang. 

“Seseorang menjerit agar semua orang tunduk dan saya melarikan diri dari kawasan tersebut,” katanya. 

Setakat pukul 3.30 petang (waktu tempatan), penumpang kira-kira lima pesawat yang berada di landasan dibenarkan keluar dari pesawat manakala beberapa penerbangan lain telah dilencongkan sebelum mendarat.

Operasi lapangan terbang itu bagaimanapun disambung semula pada waktu petang meskipun beberapa syarikat membatalkan penerbangan. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI