KOTA KINABALU – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang melaksanakan kajian menyeluruh mengenai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) enggan menyambung pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, penelitian serta kajian lebih mendalam harus dibuat agar kementerian mampu memperoleh data yang lebih tepat.
“Data 72 peratus itu perlu diperbetulkan kerana data berkenaan dikeluarkan dengan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bersama agensi berkaitan.
“Jika bercakap tentang umur 70 hingga 80 tahun ke atas, memang ramai individu ketika itu tidak menyambung pelajaran.
“Kajian terkini yang sedang diusahakan adalah berdasarkan rekod KPM membabitkan umur serta arah tuju pelajar selepas menamatkan SPM.
“Kementerian bakal kongsikan hasil kajian terbabit dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui media selepas Program Bersama Semarakan Transformasi Pendidikan Guru Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.
Terdahulu, Radzi berkata demikian ketika mengulas mengenai kaji selidik sebanyak 72.1 peratus daripada 560,000 pelajar lepasan SPM enggan menyambung pelajaran. – KOSMO! ONLINE