PETALING JAYA – Para isteri dinasihatkan agar tidak mencabar suami melafazkan talak bila berlaku pergaduhan bagi mengelakkan kerumitan pada masa akan datang.
Sebaiknya, para suami perlu melafazkan talak hendaklah di mahkamah dengan disaksikan hakim dan pembantu hakim bagi melihat beberapa faktor penting yang berkaitan dengan proses cerai.
Perkara ini dimaklumkan peguam syarie, Nor Asyiqin Mohamad Sediqi melalui hantarannya di Facebook berkenaan lafaz talak diluar mahkamah akan dikenakan penalti jika sabit.
“Pentingnya lafaz di mahkamah agar hakim akan mengambil kira beberapa faktor seperti sama ada isteri dalam keadaan suci atau tidak, bila kali terakhir melakukan hubungan kelamin, jumlah talak dan lain-lain soalan yang berkaitan.
“Buat para isteri jauhi sikap mencabar suami melafazkan talak bila berlaku pergaduhan bagi mengelakkan kerumitan pada masa akan datang,” tulisnya.
Tegas Nor Asyqin, para suami perlu menahan diri dari melafazkan talak di luar mahkamah sekalipun anda dicabar sehingga ke tahap maksimum. – KOSMO! ONLINE