KLANG – Dua nelayan menempuh detik menakutkan apabila terkandas selama tiga hari selepas bot dinaiki mereka mengalami kerosakan di perairan Pulau Selat Kering di sini, sejak Khamis lalu.
Kedua-dua lelaki berusia 37 dan 45 tahun itu bagaimanapun ditemui selamat oleh nelayan lain, kira-kira 8.6 batu nautika barat pulau berkenaan pukul 1 tengah hari semalam.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki yang memaklumkan bot miliknya masih tidak dipulangkan ke pengkalan pukul 9.50 pagi hari sama.
Katanya, bot dua nelayan itu mengalami kerosakan enjin sebelum salah seorang pulang ke jeti dengan menaiki bot lain untuk pembaikan.
“Sejurus selesai pembaikan, lelaki itu menuju semula ke perairan berkenaan namun gagal dikesan.
“Pusat Operasi (PUSOP) Maritim negeri kemudian menerima pangilan daripada seorang nelayan tempatan memaklumkan bot nelayan yang hilang itu sudah ditemukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Siva Kumar, pihaknya turut mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat mangsa dengan mengatur gerak bot Perkasa 35 ke lokasi pencarian.
“Nelayan dan bot itu ditunda ke jeti Pulau Ketam dengan bantuan sebuah bot nelayan lain untuk pembaikan. Operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 2.40 petang,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE