PETALING JAYA – Penyanyi Indah Ruhaila mengakui mahu menimang cahaya mata selepas lima tahun mendirikan rumah tangga, namun akur apabila masih belum diberikan rezeki oleh Allah SWT untuk hamil.
Bagaimanapun, Indah atau nama lengkapnya Siti Ruhailah Hussein ketika ditemui Kosmo! berkata, dia yakin pada rezeki Tuhan dan tidak mahu terlalu membebankan diri untuk berfikir tentang zuriat.
“Saya sebenarnya sudah banyak kali disoal tentang anak sampai berbuih mulut. Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya nak anak. Cuma belum ada rezeki yang diberikan oleh Allah SWT kepada saya dan juga suami.
“Saya pun sudah lima tahu berkahwin. Bila saya duduk seorang diri, kadang-kadang saya terfikir juga bila saya tua nanti siapa yang mahu menjaga saya?” ujarnya kepada Kosmo!
Tambah pelantun lagu Pudar itu lagi, dia tidak mahu bersangka buruk atas apa yang telah ditetapkan kerana percaya dengan perancangan yang telah diatur oleh-Nya.
“Saya tidak mahu fikir perkara tidak baik dengan perancangan Allah SWT. Tuhan tahu masa yang tepat untuk kurniakan cahaya mata kepada saya.
“Ramai lagi pasangan di luar sana yang sudah kahwin bertahun-tahun, malah ada yang sudah melakukan rawatan kesuburan in-vitro (IVF) pun masih belum diberikan rezeki zuriat.
“Perkara ini (kehamilan) berbalik pada rezeki Allah SWT dan saya tidak mahu bebankan diri saya. Kalau orang tanya, saya akui tidak tertekan dengan situasi ini,” katanya.
Memandangkan usianya masih baru mencecah 35 tahun, Indah diberitahu doktor dia masih berpeluang untuk memperoleh anak sendiri dan mahu cuba untuk hamil secara semula jadi.
“Saya masih ada peluang untuk hamil dan akan cuba untuk hamil secara semula jadi. Insya-Allah,” tegasnya.
Indah yang ditemui ketika sidang media pelancaran single terbaharunya berjudul All My Heart baru-baru ini telah mendirkan rumah tangga bersama suami, Ahmad Shariff Ahmad Taufiq, 41 pada 24 Disember 2017.
Selepas lima tahun berkahwin, Indah dan suami bagaimanapun masih belum diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata. – KOSMO! ONLINE