PETALING JAYA – Seramai 19 orang pelajar terperangkap di dalam lif tingkat satu di sebuah bangunan di Kota Damansara, Sungai Buloh dipercayai berpunca daripada muatan berlebihan.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan operasi menyelamat sekumpulan pelajar itu dilakukan sekitar pukul 8.26 malam, semalam.
“Setibanya di lokasi, 19 orang pelajar didapati telah terperangkap di dalam lif tingkat satu sebelum anggota bomba bertindak membuka pintu lif dengan menggunakan kunci lif.
“Operasi selesai dan seterusnya jentera bersama anggota bertolak balik ke balai,” katanya.
Dalam pada itu, pihak bomba menasihatkan orang ramai untuk menggunakan lif dengan lebih berhemah meskipun tiada amaran bunyi ekoran muatan berlebihan.
“Kemudahan lif perlu digunakan dengan sebaik mungkin kerana setiap lif tidak dapat menampung bebanan melebihi kapasiti yang ditetapkan.
“Bebanan yang berlebihan akan mengakibatkan lif tidak dapat berfungsi dengan baik walaupun tidak mengeluarkan bunyi amaran,” ujarnya.
Tambahnya, kejadian sesak nafas dan pengsan boleh berlaku akibat kepanasan dan kekurangan oksigen di dalam lif. – KOSMO! ONLINE