fbpx

100 peserta berhimpun ‘Protes Mana Kapal LCS’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suasana dalam perhimpunan Protes Mana Kapal LCS di hadapan pusat beli-belah Sogo, petang tadi.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 100 peserta perhimpunan ‘Protes Mana Kapal LCS’ membanjiri bahagian hadapan pusat beli belah Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini hari ini.

Difahamkan, perhimpunan terbabit anjuran kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Jawantankuasa Protes Mana Kapal LCS’ itu dilaksanakan bagi menggesa kerajaan menyelesaikan segera siasatan berhubung skandal kapal tempur pesisir pantai.

Perhimpunan aman yang berlangsung kira-kira pukul 2 petang tadi turut disertai beberapa individu daripada parti politik di negara ini.

Individu tersebut adalah Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad; Naib Ketua Pemuda Amanah Abas Azmi; Ketua Pemuda DAP Howard Lee Chuan; Setiausaha Agung Muda Amir Hadi serta aktivis, Siti Kassim.

Selain wakil daripada PKR, DAP dan Muda, protes itu turut disertai wakil daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).

Dalam perhimpunan itu, peserta mengulang kembali tiga tuntutan terhadap kerajaan iaitu menuntut kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat segala salah laku yang berlaku.

Selain itu, penganjur turut menuntut kerajaan menjawab berkaitan aduan dikemukakan bekas Panglima Tentera Laut, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Jaafar sebelum ini berhubung pelaksanaan projek kapal LCS berkenaan.

Bagaimanapun, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang lebih sejam perhimpunan itu berlangsung yang berakhir pada pukul 3.30 petang tadi.

Terdahulu, akhbar melaporkan polis tidak menerima sebarang notis pemakluman seperti yang diperuntukan oleh undang-undang iaitu Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung perhimpunan itu.

Baru-baru ini, tular dua poster berhubung perhimpunan ‘Protes Mana Kapal LCS’ selepas dimuat naik di media sosial mengajak orang ramai untuk menyertai perhimpunan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI