BATU PAHAT – Kehilangan wanita warga emas di Kampung Parit Kasih Sayang di Senggarang dekat sini menimbulkan pelbagai persoalan kepada ahli keluarganya selepas keluar mencari daun kelapa sawit untuk dibuat penyapu lidi sejak beberapa hari lalu.
Anaknya, Sadiah Mohari, 42, berkata, ibunya, Painah Siwan, 79, adalah seorang yang tidak betah duduk di rumah walaupun berhadapan masalah sakit lutut.
“Kami tinggal serumah dan petang kejadian dia bertanya kepada saya tempat orang menebang pokok kelapa sawit kerana mahu mengambil daunnya dibuat penyapu lidi.
“Namun tidak menyangka boleh hilang seolah-olah ada sesuatu yang menghalangnya untuk keluar daripada kawasan kebun itu,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Sadiah turut melahirkan rasa risau kerana waktu ibunya keluar, wanita warga emas itu tidak menjamah sebarang makanan dan hari ini sudah hampir empat hari tidak pulang ke rumah.
Katanya, ibunya ketika keluar mengenakan baju berwarna hitam bergaris putih, seluar biru gelap selain hanya memakai anak tudung sahaja.
“Saya amat berharap ibu dapat ditemui semula dalam apa juga keadaan walaupun ada pihak mengatakan yang dia ‘disorok’ ke alam lain.
“Saya juga memohon orang ramai sama-sama mendoakan kesihatan ibu sehingga dia ditemui,” katanya. – KOSMO! ONLINE