GEORGE TOWN – Tindakan individu didakwa seorang wanita yang berada di Mekah dan menziarahi Raudhah dalam keadaan lengkap berpakaian ihram seperti lelaki disifatkan sebagai perbuatan tidak berakal dan hanya memudaratkan diri sendiri.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, agama bukan bahan mainan atau sendaan dan seorang Muslim dituntut menghormati serta mengagungkan agamanya.
Menurutnya, melakukan perbuatan yang berlawanan dengan hukum Islam dengan sengaja bererti mempermain-mainkan atau mempersendakan agama.
“Dengan tindakan sedemikian pelakunya menjadi kafir. Jika tidak bertaubat dia akan dihumban ke neraka dan akan menerima seksaan yang dahsyat di akhirat nanti.
“Sebenarnya mereka ini hanya memudaratkan diri sendiri sedangkan agama Islam tidak terjejas oleh tindakan yang tidak berakal ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, tular di media sosial beberapa hantaran video seorang wanita yang berada di Mekah dan menziarahi Raudhah yang lengkap berpakaian ihram sebagaimana jemaah umrah lelaki.
Beritahu Wan Salim, banyak lagi cara untuk mencari populariti namun bukannya dengan menjadikan agama sebagai bahan mainan atau sendaan.
“Keimanan menuntut seseorang mengagungkan serta menghormati Allah, Rasul-Nya dan agama-Nya, sedangkan golongan ini meringan-ringan kesemua ini.
“Sebenarnya perbuatan mempersenda dan mempermainkan agama adalah sifat orang munafik yang diancam di dalam al-Quran dengan siksaan neraka yang ngeri di akhirat kelak,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE