fbpx

Tiada masalah, cuma isu komunikasi – penerbit Mat Kilau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL Rahman menegaskan, tiada sebarang masalah timbul antara Studio Kembara dengan Adi susulan tindakan aktor itu memuat naik hantaran sinikal dalam Instagramnya kelmarin.

PETALING JAYA – Penerbit filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Abdul Rahman Mt Dali menafikan berlaku salah faham antara pihaknya dengan Datuk Adi Putra hingga aktor itu memuat naik hantaran sinikal dalam Instagram.

Kata Pengarah Urusan Studio Kembara itu, perlu bersemuka atau tidak bergantung kepada keadaan memandangkan situasi tersebut bukan satu masalah, sebaliknya hanya soal tidak dihubungi.

“Setahu saya antara kami memang tiada masalah apa-apa. Jadi kalau nak berjumpa atau sebagainya terpulang. Andai nak jumpa pun sebagai rakan pemain industri, bagi saya boleh saja.

“Perkara ini pun baru saja berlaku malam kelmarin. Kita tiada hal. Kalau melihat kepada siasatan, adik saya yang juga penerbit dan penulis skrip, Shahruddin ada berbual dengan Adi sekitar pukul 5 petang semalam.

“Perbincangan berjalan dengan baik. Sekitar pukul 10.23 malam Adi ada menghubunginya tetapi ketika itu Shahruddin sudah memaklumkan dia akan menghubunginya semula selepas mesyuarat selesai.

“Kata Shahruddin, dia hubungi Adi pada pukul 11.18 malam tanpa mengetahui perkara berkenaan telah dikongsi dalam laman sosial. Sekali lagi pada 11.28 malam panggilan adik saya tidak diangkat Adi.

“Isunya sekarang cuma mengenai dakwaan tidak dihubungi. Pegawai kami pun ada semua rekod panggilan atau maklum balas terhadap apa-apa yang Adi perlukan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Terdahulu, Adi yang melakonkan watak utama sebagai Mat Kilau memuat naik hantaran Instagramnya seperti menyindir pihak produksi filem yang sukar dicari.

Pemilik nama penuh Mohamed Hadi Putera Halim, 41, itu berkata, dia boleh menghadiahkan telefon bimbit kepada Studio Kembara selepas didakwa susah untuk dihubungi.

Bintang filem terkenal itu turut menyatakan dia terpaksa memilih menggunakan media sosial agar ‘mesej’ yang ingin disampaikan dapat diterima Studio Kembara.

“Semoga mesej ini sampai ke pihak berkenaan dan semoga Allah permudahkan segala urusan,” katanya.

Tanpa mendedahkan kemelut yang berlaku, Adi mengesahkan tidak akan hadir pada tayangan gala filem tersebut di Jakarta, Indonesia yang dijadualkan pada 31 Ogos ini.

Terdahulu, filem arahan Syamsul Yusof itu merekodkan kutipan tiket mencecah RM96 juta dalam tempoh 40 hari tayangan bermula 23 Jun lalu.

Selain Adi, Mat Kilau membariskan Beto Kusyairy, Fattah Amin, Johan As’ari, Datuk Jalaluddin Hassan serta bintang Indonesia yang mencipta nama di Hollywood, Yayan Ruhian.

Sementara itu, bersandarkan jadual rombongan, Studio Kembara akan berada di Jakarta selama beberapa hari bagi mengikuti jadual promosi dengan media tempatan serta penganjur.

Kata Abdul Rahman lagi, mengikut perancangan asal mereka akan ‘berkampung’ di sana bermula pada 25 Ogos ini dengan menyaksikan 200 pawagam Indonesia menayangkan filem tersebut.

Katanya, setakat ini pihaknya juga belum dapat mengesahkan kehadiran Syamsul pada malam gala nanti namun seperti Adi, jemputan sudah diberikan.

“Syamsul sendiri sudah dijemput ke malam gala di Jakarta. Sama ada dia boleh pergi atau tak sukar untuk saya beri jaminan. Syamsul boleh bagi kejutan,” ulasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI