fbpx

Suami dakwa rakam isteri tuang racun dalam minuman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chen mendakwa CCTV merakam Yu meracuni minumannya sebanyak tiga kali. - Hittelman Family Law Group

SACRAMENTO, California – Seorang doktor di negeri California, Amerika Syarikat (AS) mendakwa berjaya merakam perbuatan isterinya memasukkan cecair produk pembersih rumah ke dalam minumannya,  lapor akhbar Daily Star UK  kelmarin.

Dr. Jack Chen membongkar perbuatan tersebut menerusi rakaman kamera rahsia  yang dipasang tanpa pengetahuan isterinya, Yue ‘Emily’ Yu.

Susulan pendedahan tersebut, Chen memfaikan permohonan cerai dan mendakwa bahawa  isterinya turut mendera anak-anak mereka. Pasangan itu telah berkahwin selama 10 tahun.

Dalam dokumen mahkamah yang difailkan baru-baru ini,  Chen menuduh Yu menambah cecair pembersih longkang,  Drano ke dalam minumannya pada Mac dan April tahun ini.

Katanya, dia dapat mengesan rasa bendasing kimia dalam air limaunya dan pergi berjumpa doktor selepas itu. Lelaki itu kemudian didiagnosis menghidap ulser dalam perut, gastritis dan esofagitis.

Selepas itu,  dia memasang kamera tersembunyi di dapur rumah mereka.

Menurut doktor berkenaan, perbuatan  Yu menambahkan bahan kimia itu ke dalam minumannya dirakam sebanyak tiga kali.

Salah satu tangkap layar video tersebut menunjukkan wanita  itu menuangkan cecair daripada botol plastik merah besar.

Yu ditahan pada Khamis minggu lalu  selepas Chen melaporkan perbuatannya  kepada polis.

Polis mengesahkan wanita itu ditahan kerana meracuni suaminya selepas disoal siasat.

Chen turut memfailkan dakwaan bahawa isterinya mendera dua anak mereka iaitu  seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun dan kakaknya yang berumur 8 tahun.

“Apabila dia (Yu)  kecewa dan menjerit kepada anak-anak, dia biasanya akan menggunakan bahasa Mandarin yang bermaksud  ‘pergi mati!’

“Dia juga sering melemparkan kata-kata kesat seperti  ‘kepala anda mempunyai masalah atau ‘’kepala anda tidak betul,” kata Chen.

Ibu Yu, Yuqin ‘Amy’ Gu, juga didakwa terlibat dalam penderaan itu.

Peguam Yu, David Wohl bagaimanapun menafikan semua dakwaan tersebut dan menganggapnya sebagai fitnah.

“Anak guam saya menafikan sekeras-kerasnya pernah meracuni suaminya atau orang lain. Sebagai seorang doktor yang dihormati, matlamatnya selalu untuk membantu orang dan tidak mencederakan mereka. 

“Dakwaan palsu ini  dibuat oleh suaminya dalam usaha mendapatkan kelebihan dalam kes perceraian dan hak penjagaan yang difailkan sehari selepas anak guam saya ditangkap,” kata Wohl. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI