LIPIS – Kerajaan Pahang memperkenalkan Skim Tanah Warisan (STW) sebagai modul baharu penempatan bagi penduduk luar bandar yang kurang berkemampuan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, menerusi Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 2021, Kerajaan Negeri bersetuju mewujudkan STW bagi tujuan mempelbagaikan lagi skim tanah yang sedia ada bagi memaksimumkan pemilikan tanah untuk rakyat di negeri ini.
“Ini merupakan ‘pilot project’ bagi pelaksanaan program STW ini di Kuala Medang, Lipis di atas tanah kerajaan seluas 30.425 hektar akan memberi manfaat kepada 250 orang peserta.
“Keluasan bagi setiap lot tanah kediaman adalah antara 8,000 kaki persegi hingga 10,000 kaki persegi dan bayaran premium bagi setiap plot telah ditetapkan sebanyak RM10,000 ringgit sahaja,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Dan Penyerahan Surat Tawaran STW Pahang dan Penyampaian Suratan Hak Milik Rancangan Felcra di Kuala Medang di sini, hari ini.
Sempena majlis itu seramai 250 penduduk menerima surat tawaran STW dan 169 penduduk menerima suratan hak milik Rancangan Felcra.
Menurut Wan Rosdy, tujuan utama skim itu dilaksanakan adalah untuk meringankan beban kewangan peserta bagi memiliki lot tanah dan membina kediaman sendiri.
Jelasnya di bawah program STW lot-lot tapak perumahan tersebut akan ditawarkan pada harga yang sangat minima dan kerajaan negeri bersetuju memberikan subsidi kepada premium tanah serta kos pembangunan infrastruktur.
“Program ini melibatkan pemberian hak milik tanah lot-lot perumahan seperti Rancangan Tanah Kelompok (RTK) dan Skim Tanah Rakyat (STR).
“Bezanya, STW ini dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur asas seperti jalan raya, sistem perparitan, bekalan air, elektrik dan lain-lain,” katanya.
Menurutnya lagi, kumpulan sasar skim itu adalah penduduk setempat yang berpendapatan rendah yang mana peserta perlu membina rumah dalam tempoh lima tahun dari tarikh mendapat hak milik.
Katanya hak milik tanah turut diberi moratorium selama 10 tahun dan peserta dibenarkan mencagar di mana-mana institusi pinjaman bagi mendapatkan pinjaman untuk membina rumah di atas lot tanah berkenaan.
“Kos pembinaan rumah pula ditanggung sepenuhnya oleh peserta, yang mana reka bentuk dan luas rumah adalah terpulang kepada peserta mengikut kemampuan kewangan serta kesesuaian lot tapak yang diperolehi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE