fbpx

PRU-15: MIC mahu bertanding Parlimen Teluk Intan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Vickneswaran

IPOH – Presiden MIC, Tan Sri SA Vickneswaran menyuarakan hasrat parti berkenaan untuk meletakkan calon bertanding di kerusi Parlimen Teluk Intan mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Menurut Vickneswaran, MIC sudah lama mengintai kerusi tersebut yang merupakan salah satu kerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) selepas mereka tidak lagi bersama Barisan Nasional (BN) ekoran kekalahan pada PRU-14 yang lalu.

Beliau turut menyifatkan Parlimen Teluk Intan sebagai kerusi tambahan bagi MIC untuk bertanding di negeri ini selain mengekalkan Parlimen Tapah dan Sungai Siput.

“Memang kita nak juga bertanding di Teluk Intan, kerana pertama ada kerusi tambahan, kedua kita memang telah memberi keutamaan kepada BN di mana kita telah memberi kerusi Cameron Highlands (Pilihan Raya Kecil Januari 2019).

“Jadi takkan apa yang kita korbankan ini tiada makna. Saya percaya kepimpinan BN dan UMNO akan memberi kerjasama mereka supaya MIC yang telah lama bersama BN diberi pengiktirafan sepatutnya,” katanya kepada media selepas hadir merasmikan Konvensyen Perwakilan MIC Perak Ke-76, di Dewan SRRI AKS, Medan Istana di sini hari ini.

Tambahnya, selain kerusi Parlimen Teluk Intan, terdapat beberapa lagi permintaan yang hanya akan diputuskan menerusi Majlis Tertinggi BN.

Menurutnya, sebarang permintaan tersebut tidak boleh didedahkan sewenang-wenangnya kerana bimbang perkara tersebut akan menyebabkan organisasi kucar-kacir.

Mengulas lanjut, Vickneswaran berkata, MIC juga berharap agar BN boleh memberi parti berkenaan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mampu dimenangi mereka pada PRU-15. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI