SERDANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan beliau telah mengadakan pertemuan bersama Perikatan Nasional (PN) pada 4 Ogos lalu iaitu selepas persidangan akhir di Parlimen.
Menurutnya, pertemuan tersebut bersama Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Bendahari PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Mereka sudah menyampaikan pandangan dan saya juga sudah menyampaikan pandangan saya. Jadi setakat itu sahaja.
“Saya ingat tidak perlu dibangkitkan lagi,” katanya ringkas kepada media pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.
Terdahulu media melaporkan, PN menzahirkan rasa kecewa terhadap Perdana Menteri yang disifatkan tidak bersungguh dalam memenuhi perjanjian dengan gabungan itu.
Hamzah dipetik berkata, sehubungan itu, PN memutuskan untuk menghantar delegasi untuk menemui Ismail Sabri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, isu kebocoran data peribadi pengguna melibatkan penyedia penyelesaian pembayaran dalam talian iPay88 akan dibawa ke Kabinet minggu depan.
“Kita akan bawa ke Kabinet kerana ada pelbagai cadangan termasuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI),” katanya.
Terdahulu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sudah mengambil tindakan serta-merta berhubung insiden keselamatan siber membabitkan penyedia penyelesaian pembayaran dalam talian iPay88.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa dipetik berkata, perkara itu dilakukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Jabatan Perlindungan Data Peribadi dan Cyber Security Malaysia (CSM) yang mengadakan pertemuan dengan pihak iPay88. -KOSMO! ONLINE