LUMUT – Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) menafikan dakwaan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) adalah projek ‘halimunan’ seperti dakwaan segelintir pihak sebaliknya lima daripada enam kapal tersebut kini dalam pembinaan.
Ketua Pegawai Eksekutif BNS, Azhar Jumaat berkata, sehingga kini, kapal pertama sudah siap 60 peratus manakala empat lagi dalam proses pembinaan di limbungan.
“Daripada RM6 bilion yang diperuntukkan untuk projek ini, sebanyak RM1.8 bilion kelengkapan dan sistem sudah dipasang pada kelima-lima kapal tersebut.
“Sebanyak RM1.7 bilion kelengkapan dan sistem yang diperoleh pula berada dalam gudang,” katanya dalam taklimat sempena lawatan media ke limbungan BNS di Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.
Pada masa sama, Azhar turut menafikan 15 peratus kelengkapan dan sistem bernilai RM1.7 bilion telah usang seperti laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini.
Menganggap laporan itu sebagai kurang tepat, Azhar menjelaskan, tidak sampai satu peratus kelengkapan yang boleh dianggap usang dan ia pula tidak melibatkan peralatan penting seperti persenjataan, enjin dan sistem pengagihan elektrik.
Beliau menjelaskan, peralatan seperti televisyen yang dibeli pada 2019 untuk kegunaan tontonan waktu rehat anak kapal, mungkin dianggap telah usang berbanding teknologi yang ada pada televisyen keluaran terkini.
Katanya, ada antara kelengkapan berada dalam keadaan hampir menjadi usang tetapi masih boleh digunakan dan hanya perlu dilakukan proses pemuliharaan dan penyelenggaraan yang diperakui oleh pihak pengilang pembekal (OEM).
“Bagi kelengkapan dan sistem lain termasuk persenjataan masih berada dalam keadaan baik kerana kontrak pembelian adalah untuk kegunaan sekurang-kurangnya 30 tahun,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE