fbpx

Pavilion Agrotrade FAMA catat potensi eksport RM42.3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAVILION Agrotrade FAMA yang terdapat di Hall A pada Pameran MAHA 2022 di MAEPS, Serdang.

SERDANG – Padanan perniagaan yang dijalankan di Pavilion Agrotrade Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 berjaya mencatat potensi eksport bernilai RM42.3 juta setakat kelmarin.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Mohamad Mustahapa Awang berkata, padanan perniagaan itu membabitkan perbincangan antara usahawan tempatan dan ejen pemasar dari negara asing.

“Ejen pemasar termasuk dari Thailand, Hong Kong, China, Jepun, United Kingdom, Austra­lia dan Jerman. Ini adalah pada­nan perniagaan secara ‘walk in’ di Pavilion Agrotrade MAHA 2022 sahaja.

“Ia tidak termasuk pemeteraian empat perjanjian melibatkan Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan nilai keseluruhan RM451 juta baru-baru ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini semalam.

Mohamad Mustahapa berkata, padanan perniagaan secara ‘walk-in’ yang disasarkan pada MAHA 2022 adalah RM10 juta sekali gus bermakna pencapaian sebenar telah melebihi sasaran.

MOHAMAD MUSTAHAPA

Jelas beliau, padanan perniagaan diatur melibatkan ejen pemasar dari luar negara yang dijemput khusus sempena MAHA 2022 bagi mengenal pasti produk tempatan yang mendapat permintaan dan berpotensi dipasarkan ke negara mereka.

“Salah satu ejen pemasar itu adalah Lulu yang memiliki lebih 200 pasar raya di seluruh dunia. Kita bawa ke MAHA 2022 untuk menyuaipadankan pasar raya tersebut dengan usahawan kita dan sete­rusnya mengimport produk yang terpilih ke pasaran global.

“Kita turut melibatkan beberapa agensi kerajaan yang berkaitan seperti Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Amanah Rakyat (Mara), SIRIM Bhd. dan Agrobank di Pavilion Agrotrade MAHA 2020 menjadi ‘one stop center’ kepada usahawan untuk mendapatkan khidmat nasihat eksport.

“Kluster Agrotrade MAHA 2022 bertemakan Your Gateway to International Market,” katanya.

Beliau menerangkan, antara produk yang terlibat dalam padanan perniagaan secara ‘walk in’ itu adalah produk agromakanan seperti pes masakan, snek dan pelbagai lagi.

Kata beliau, produk lain se­perti produk sejuk beku durian, sate, roti canai, keropok lekor, popiah dan juga buah-buahan.

“Jadi penganjuran MAHA 2022 memberi prospek yang bagus dan tinggi kepada usahawan kita untuk mengeksport. Mereka juga boleh mempelajari hal pensijilan, pembungkusan dan lain-lain untuk tujuan eksport,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan penganjuran MAHA 2022 bermula 4 Ogos lalu mendapat sambutan memberangsangkan.

Sebagai contoh, katanya, Empayar Makanan yang menjual pelbagai jenis makanan dan hidangan lazat sempena MAHA 2022 sehingga kelmarin dianggarkan mencatat jualan secara fizikal sebanyak RM1.71 juta.

Katanya, jualan secara dalam talian Empayar Makanan pula dianggarkan bernilai RM756,000 kerana penganjuran MAHA 2022 turut dianjurkan secara virtual.

“Kita anggarkan jualan fizikal dalam baki beberapa hari lagi (MAHA 2022) ini boleh capai RM800,000 lagi didorong hari cuti Sabtu dan Ahad,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI