KUALA TERENGGANU – Satu mayat dipercayai salah seorang nelayan yang hilang dalam insiden bot karam pada Isnin lalu ditemui di perairan Pulau Redang, Kuala Nerus hari ini.
Mayat lelaki itu dijumpai oleh sekumpulan nelayan pada kedudukan 9.4 batu nautika utara Pulau Redang pada pukul 11 pagi.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Saufi Mohd. Ramli berkata, penemuan objek terapung terbabit kemudiannya telah dimaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Kapal Maritim (KM) Bagahak telah diarahkan untuk melakukan siasatan dan tiba di lokasi kejadian pada pukul 12.30 tengah hari.
“Setakat ini pengecaman mayat gagal dilakukan berikutan keadaan fizikal mayat yang sudah lama berada dalam laut,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan berkenaan iaitu Raja Zainudin Raja Ibrahim, 49, dan Ahmad Zamri Ishak, 66, ditamatkan mulai pukul 7 malam semalam ekoran ketiadaan petunjuk baharu
Muhammad Suffi berkata, mayat tersebut telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk tindakan lanjut.
Kosmo! Rabu lalu melaporkan lima nelayan dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka karam akibat dipukul ribut pada kedudukan kira-kira 10 batu nautika dari Pulau Redang pada pukul 10 malam, Isnin lalu.
Tiga mayat mangsa iaitu Saludin Ismail, 50; Mohd. Nazri Abu Bakar, 48, dan Zulkifli Umar, 48, kemudiannya ditemui tersangkut pada boya unjam berhampiran lokasi bot karam pada keesokan hari. – KOSMO! ONLINE