PETALING JAYA – Negeri Sembilan terus mempamerkan aksi cemerlang ketika meraih kemenangan keempat berturut-turut dalam saingan Liga Super apabila menewaskan Petaling Jaya City 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.
PJ City harus menyalahkan diri sendiri kerana sering dipalit kesilapan berulang sekali gus berjaya dimanfaatkan Gustavo Almeida yang meledak kedua-dua gol skuad Hoben Jang Hoben.
Kemenangan itu terus mengukuhkan kedudukan Negeri Sembilan di tempat ketiga Liga Super dengan 32 mata, hanya dipisahkan dua mata berbanding Sabah di tangga kedua.
Terdahulu, kesilapan kapten PJ City, Raffi Nagoorgani yang lewat mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya mengundang padah apabila cubaannya menghantar bola kepada penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi berjaya dipintas Almeida untuk membuka jaringan pada minit ke-11.
Sekalipun cuba bangkit, pertahanan Negeri Sembilan nyata memiliki keyakinan lebih baik dan kekal berdisiplin setiap kali berdepan gerakan yang diatur PJ City.
Kecenderungan pemain PJ City melakukan tolakan ke belakang dan terus melakukan kesilapan nyata merencatkan usaha memburu gol penyamaan, sebaliknya minit ke-62, Almeida sekali lagi mempamerkan aksi berbisa untuk menyempurnakan lorongan menarik daripada Omid Nazari.
Memasuki masa tambahan, Almeida hampir melengkapkan hatrik tetapi tampanan dilakukannya berjaya dikeluarkan oleh Leslee Nathan Jesunathan sebelum bola melintasi garisan gol. – KOSMO! ONLINE