RAWANG – Seorang lelaki warga Britain patah kaki kanan selepas terjatuh ketika mandi di air terjun Taman Rimba Kanching pada pagi tadi.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa dikenali sebagai Christopher Jonathan Strutt berusia 31 tahun.
“Kita menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira pukul 10.22 pagi sebelum sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang tiba di lokasi sekitar 10 minit kemudian.
“Mangsa berada dalam keadaan sedar ketika ditemui dan telah diberi rawatan awal oleh anggota bertugas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, mangsa telah dibawa turun dan sedang menerima rawatan di Hospital Selayang. – KOSMO! ONLINE