fbpx

KPM lancar portal aduan kes buli minggu hadapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radzi meluangkan masa meninjau hasil inovatif murid pada Program Showcase Transformasi Pendidikan di Alamanda, Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) bakal melancarkan satu portal khusus bagi pelajar atau ibu bapa yang mahu melaporkan tentang kejadian buli di sekolah masing-masing dalam masa terdekat.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, portal tersebut bakal menyediakan satu platform pelaporan yang lengkap dan tersusun agar isu buli di institusi sekolah dapat diminimumkan.

“Menerusi portal ini, sebarang aduan berhubung kejadian buli dapat disampaikan menerusi emel, pelaporan pada sistem sedia ada atau melalui panggilan telefon.

“Melalui portal ini juga, pengadu tidak perlu risau aduan mereka diketahui oleh orang lain kerana ia adalah sulit dan yang lebih penting setiap aduan akan disiasat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Program Showcase Transformasi Pendidikan di Alamanda, Putrajaya, di sini hari ini.

Menurut Radzi, portal berkenaan yang dijangka akan dilancarkan seawal minggu hadapan adalah satu daripada pelbagai inisiatif yang sedang dan akan terus dilaksanakan oleh KPM dalam menangani isu berkaitan buli di sekolah.

“Pendekatan lain yang sedang dijalankan oleh KPM bagi mengurangkan isu buli di sekolah adalah penubuhan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr. Habibah Abdul Rahim.

“Jawatankuasa ini akan melihat kepada penambahbaikan yang boleh dilaksanakan dalam tatacara juga panduan sedia ada berkaitan buli di sekolah,”ujar beliau.

Menurut Radzi, konsep Sekolahku Sejahtera yang dilancarkan pihak kementerian sejak Februari lalu banyak menekankan kepada elemen-elemen dalam diri murid-murid agar mereka dapat membuat keputusan yang tepat selain mengelakkan diri daripada terlibat dengan kes buli.

“Dalam konsep ini kita ada penekanan elemen selamat di sekolah dan elemen empati selain mendidik anak-anak dengan sikap dan pemikiran yang rasional.

“Kita boleh adakan pelbagai pemantauan namun jika jiwa dan pemikiran mereka belum jelas tentang sesuatu tindakan yang dilakukan, ia akan terus menyumbang kepada kes buli,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI