MANCHESTER – Bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo dikatakan bekerja keras dalam latihan dan sudah bersedia sepenuhnya untuk diturunkan pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Brentford di Stadium Komuniti Gtech tengah malam ini.
The Red Devils terdesak untuk menggunakan khidmat Ronaldo selepas memulakan saingan Liga Perdana musim ini dengan aksi mengecewakan apabila tewas 1-2 kepada Brighton di Old Trafford minggu lalu.
Meskipun Ronaldo berulang kali mengatakan dia mahu meninggalkan United musim ini, namun khidmatnya masih ditagih pengurus, Erik Ten Hag selepas era baharu pasukan tidak bermula seperti dijangka.
Justeru, beliau mengharapkan aksi lebih baik ditampilkan barisan pemainnya ketika berkunjung ke Brentford bagi mengubat kekecewaan gagal mendapatkan tiga mata pada perlawanan di laman sendiri.
“Selepas perlawanan dengan Brighton, semua pemain tahu mereka perlu bekerja lebih keras serta lupakan kekalahan tersebut. Sekarang kami perlu fokus bagi memastikan pasukan bermain lebih baik.
“Saya dapat kesan beberapa kelemahan yang ada dalam pasukan dan ia akan diperbetulkan dalam sesi latihan. Tidak kira bertemu pasukan mana pun, kami tidak boleh ulangi kesilapan seperti sebelum ini,” kata Ten Hag.
United dijangka mampu bangkit daripada kekalahan sebelum ini sekiranya mereka menurunkan Ronaldo, Christian Eriksen dan Bruno Fernandes dalam kesebelasan utama pada pertemuan hari ini. – AGENSI