KUALA LANGAT – Perbuatan wanita mengheret anak angkatnya berusia 10 tahun atas jalan bagi memberi pengajaran kerana kanak-kanak itu didakwa kerap mencuri di Tanjung Sepat di sini membawa padah apabila dia ditahan hari ini.
Suspek yang berusia dalam lingkungan 60-an diberkas pada pukul 12.10 tengah malam tadi di rumahnya di Tanjung Sepat selepas insiden itu tular menerusi video berdurasi 33 saat.
Polis menerima laporan berhubung video tular tersebut semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa baru pulang dari sekolah dan masih memakai pakaian seragam.
Katanya, mangsa merupakan anak angkat suspek yang berdaftar dan tinggal bersamanya sejak kecil lagi.
“Siasatan mendapati punca kejadian disebabkan mangsa beberapa kali mencuri wang suspek. Tujuan wanita itu berbuat demikian supaya anak angkatnya tidak mengulangi perbuatan sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Banting di sini untuk mendapatkan rawatan dan disahkan mengalami kecederaan ringan di kepala.
Tambah Ahmad Ridhwan, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
“Wanita warga emas itu tidak direman kerana faktor umur dan mempunyai penyakit darah tinggi. Mangsa pula diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya. -KOSMO!ONLINE