PUTRAJAYA – Isu ini melibatkan hukum hakam agama justeru, tindakan tegas akan dikenakan.
Itu jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad susulan satu video tular memaparkan seorang wanita berpakaian ihram lelaki ketika menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah baru-baru ini.
Idris berkata, beliau mengambil berat perkara itu dan sudah menghubungi Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan selanjutnya.
“Saya memohon pihak KDN untuk membuat siasatan lanjut setibanya individu tersebut di Malaysia nanti.
“Saya juga telah menghubungi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk memastikan jika perkara ini benar, tindakan tegas juga akan dikenakan kepada agensi yang menguruskan individu tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam ini.
Sejak semalam, tular di Twitter beberapa hantaran mengenai wanita berkenaan susulan videonya berada di Tanah Suci Mekah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki. – KOSMO! ONLINE.