RIYADH – Kerajaan Arab Saudi menetapkan bahawa tarikh akhir bagi jemaah haji dari seluruh dunia tahun ini untuk meninggalkan Tanah Suci Mekah adalah pada Sabtu,13 Ogos 2022 lapor akhbar Saudi Gazette semalam.
Kementerian Haji dan Umrah berkata, syarikat-syarikat Tawafah yang menyediakan perkhidmatan kepada jemaah haji di luar negara perlu mematuhi jadual pelepasan jemaah yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.
Syarikat-syarikat juga perlu memastikan prosedur perjalanan jemaah haji yang datang ke Arab Saudi disempurnakan mengikut perancangan operasi yang dilaksanakan sepanjang musim haji 2022.
Arab Saudi sekali lagi menekankan kepada semua syarikat yang kepentingan supaya mematuhi tarikh pelepasan keluar jemaah haji bagi memberi ruang kepada kumpulan umrah yang telah bermula pada 30 Julai lalu.
Kementerian itu memaklumkan bahawa semua jemaah umrah yang masih berada dalam negara mesti menyemak butiran pengangkutan dan penginapan mereka daripada syarikat yang mengatur perjalanan mereka.
Seramai satu juta orang Islam yang telah menerima vaksinasi lengkap termasuk 850,000 jemaah dari luar Arab Saudi dibenarkan mengerjakan haji pada tahun ini. Angka tersebut adalah peningkatan mendadak selepas dua tahun bilangan jemaah dihadkan berikutan penularan global Covid-19.
Sepanjang musim haji 2022, Kementerian Kesihatan Arab Saudi telah menyediakan sebanyak 23 hospital dan 147 pusat kesihatan di Mekah dan Madinah sebagai kemudahan kepada jemaah haji domestik dan luar negara.
Ini termasuk menyediakan lebih 1,000 buah katil untuk pesakit yang memerlukan penjagaan intensif dan lebih 200 katil kepada pesakit strok haba. Kerajaan Arab Saudi juga mengerahkan lebih 25,000 pekerja kesihatan sebagai persediaan untuk sebarang kes kesihatan. – Agensi/AFP