PASIR PUTEH – Satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kejadian bot karam di perairan Pulau Redang, Terengganu pada Isnin lalu terpaksa berpaut pada penutup tong ikan dan pelampung bubu selama 14 jam di tengah laut sebelum diselamatkan.
Muhammad Kamaruddin Yudi, 31, berkata, sebelum kejadian itu, bot yang dinaiki bersama lima rakan dipukul ombak setinggi lebih dua meter menyebabkan ia berpusing.
Ceritanya, dalam keadaan cemas, dia berpaut pada dua objek tersebut, manakala rakan-rakannya memegang badan bot sebelum diselamatkan oleh bot pelancong.
Berita berkaitan: Tiga mayat nelayan hilang ditemui
“Kami bertolak dari jeti perikanan Cherang Ruku pukul 10 malam, Ahad lalu untuk memancing dan pasang bubu.
“Ini merupakan kejadian pertama sejak lebih 20 tahun saya turun ke laut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Nelayan, Tok Bali semalam.
Muhammad Kamaruddin masih terbayang keadaan rakannya, Ahmad Zamri Ishak, 66, yang memegang betisnya sebelum berpaut pada badan bot.
“Itulah detik terakhir saya melihat Ahmad Zamri sebelum dia hilang,” katanya.
Muhammad Kamaruddin merupakan satu-satunya mangsa terselamat setakat ini, manakala tiga yang lain iaitu Mohd. Nazri Abu Bakar, 48; Zulkifli Umar, 48, dan Saludin Ismail, 50, lemas.
Berita berkaitan: Cari dua nelayan hilang dalam rangka bot karam
Ahmad Zamri dan Raja Zainudin Raja Ibrahim, 49, pula dilaporkan masih hilang.
Tambahnya, dia tidak dapat tidur lena sejak kejadian meragut nyawa tiga rakannya kerana masih terkenangkan nasib mereka termasuk dua yang hilang.
“Perit rasanya untuk kembali ke laut selepas ini, namun saya perlu turun juga kerana ia satu-satunya punca pendapatan. Gurauan tekong untuk pergi jauh menjadi kenyataan, dia meninggalkan saya buat selama-lamanya,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan lima nelayan dikhuatiri hilang di tengah laut selepas bot yang dinaiki mereka karam berhampiran perairan Pulau Redang, Kuala Nerus, Terengganu pada Isnin lalu.