JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan seorang pengantin lelaki tersalah lafaz ijab kabul kerana terlalu berdebar semasa dinikahkan oleh bakal bapa mentuanya, lapor laman berita Wolipop.
Video majlis pernikahan itu dimuat naik dalam akaun Instagram @dagelan.
Rakaman memaparkan pengantin lelaki menundukkan kepala ketika bersalaman dengan jurunikah yang juga bakal bapa mentuanya.
Selepas jurunikah selesai membacakan mas kahwin, pengantin lelaki itu sebaliknya membalas dengan ucapan terima kasih.
“Saya nikahkan kamu dengan anak saya, Nurul Amalia dengan mas kahwin emas 20 gram beserta peralatan solat, dibayar tunai,” kata bapa pengantin perempuan.
“Bismillahirrahmanirrahim, terima kasih,” jawab pengantin lelaki itu.
Tetamu yang hadir dilihat terkejut, namun lalu ketawa menyaksikan insiden tersebut. Video berkenaan mendapat perhatian netizen di ruangan komen.
“Kurang taklimat,” kata seorang netizen.
“Saya boleh bayangkan betapa berdebarnya dia,” komen netizen lain. – Agensi