KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-16 memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa hasil siasatannya menunjukkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Arul Kanda Kandasamy meminda Laporan Pengauditan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB).
Tindakan itu dibuat untuk melindungi mereka daripada dikenakan tindakan sivil atau jenayah berkaitan perjalanan operasi syarikat itu.
Penguasa Kanan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Haniff Lami 34, berkata siasatan yang dijalankan pada tahun 2018 itu juga menunjukkan Arul Kanda bersubahat dengan Najib untuk berbuat demikian bagi tujuan yang sama.
“Berdasarkan siasatan saya, tertuduh kedua (Najib) telah menggunakan kuasanya selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada ketika itu dengan mengarahkan supaya Laporan Pengauditan 1MDB dipinda sebelum ia dapat dibentangkan di Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 24 Februari 2016. Bagi Arul Kanda Kandasamy (tertuduh pertama), dia telah bersubahat dengan Najib dalam kes ini.
“Hasil siasatan saya menunjukkan bahawa perkara itu dilakukan oleh kedua-dua tertuduh untuk melindungi diri mereka daripada sebarang tindakan sivil atau jenayah berkaitan dengan perjalanan operasi 1MDB,” katanya ketika membaca penyataan saksi dalam kes perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.
Dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Mohamad Mustafa P Kunyalam, manakala Najib dan Arul Kanda masing-masing diwakli peguam, Rahmat Hazlan dan Datuk N .Sivananthan.
Mengulas lanjut Haniff berkata, satu mesyuarat diadakan oleh Ali pada 24 Februari 2016 yang turut dihadiri Arul Kanda, susulan arahan daripada Najib dan hasilnya terdapat pindaan dibuat terhadap laporan membabitkan empat perkara.
Beliau berkata, perkara pertama ialah dua versi penyata kewangan 1MDB berbeza bagi 2014 disusuli perjanjian Country Groups Securities Thailand dengan ACME Time Limited (ACME).
“Dua lagi perkara ialah isu kehadiran Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho) dan isu penangguhan penerbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN). Susulan mesyuarat itu, Laporan Pengauditan 1MDB dibentangkan di hadapan PAC pada 4 dan 7 Mac 2016 adalah laporan dipinda susulan arahan tertuduh kedua,” katanya.
Sementara itu ketika pemeriksaan balas oleh Rahmat pula, Haniff berkata, Najib dan Arul Kanda ditahan masing-masing pada 10 dan 11 Disember 2018 dan dirakam keterangan pada hari tangkapan.
Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa versi keterangan tertuduh perlu disiasat secara mendalam bagi menegakkan keadilan.
Perbicaraan bersambung lagi 18 Ogos ini.- KOSMO! ONLINE