fbpx

Kesilapan lampau bantu Scha lebih fokus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK dinafikan semua insan dalam muka bumi ini tak terlepas dan lari daripada membuat kesilapan.

Begitu juga dengan mereka yang kini dilihat berjaya dalam bidang dan cabang yang dipilih termasuk perniagaan.

Perkara tersebut turut dilalui dan dirasai sendiri anak jati kelahiran Negeri Che Siti Wan Kembang yang mesra disapa sebagai Scha.

Kata Scha, dia juga tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan dalam perniagaan dan menyifatkan jatuh bangun dalam bidang yang dipilih sebagai satu asam garam.

Memulakan bicara, wanita berusia 29 tahun itu berkata, minatnya dalam bidang fesyen memang sudah sebati dalam diri sejak dulu lagi.

Justeru, bermula daripada situ, dia memberanikan diri untuk hadir dengan pelbagai jenama fesyen tersendiri meliputi tudung, jubah, pakaian wanita, baju kurung dan sebagainya secara sekali gus.

“Ya minat berniaga itu memang sudah ada sejak dulu lagi sewaktu saya masih muda remaja. Seingat saya, saya mula berniaga lebih kurang tujuh ke lapan tahun lalu.

“Dengan hanya membantu menjual produk orang lain sampailah saya terfikir untuk ada jenama perniagaan fesyen sendiri.

“Alhamdulillah selepas beberapa tahun berniaga, pada tahun 2016 saya tekad untuk membuka sebuah kilang sendiri yang memfokuskan kepada pengeluaran dan jahitan,” katanya membuka bicara.

 

TIDAK sekadar menjual tudung dan membuat kerja-kerja pengeluaran, Scha turut bertindak selaku mentor dalam bidang fesyen sekali gus membantu para usahawan baharu untuk memiliki jenama sendiri.

Meneruskan cerita, Scha atau nama sebenarnya Nurul Syaza Fauzi berkata, kilangnya yang diberi nama kilangtudung.my itu bagaimanapun hanya sempat bertahan tidak sampai dua tahun.

Katanya, itu antara pengalaman pahit yang begitu mematangkan dirinya dan pada sama tidak pernah terlintas di fikirannya disebabkan kesilapan sendiri.

“Pada tahun 2016, saya dan suami pernah buka kilang fesyen dan ada 40 mesin untuk proses jahitan, tetapi hanya bertahan selama dua tahun disebabkan pasukan produksi yang kurang kuat dan silap saya sendiri yang begitu ‘ghairah’ untuk memiliki kilang sendiri.

“Tidak setakat itu, pengalaman yang kurang dan masih hijau dalam selok-belok perniagaan pun membuatkan kami tiada cara lain selain terpaksa menutup kilang tersebut daripada terus menanggung kerugian dan kos lain,” ujarnya.

Tambah Scha, pengalaman yang berlaku di depan matanya itu secara tidak langsung mendidik dan mengajar dirinya untuk lebih fokus pada hanya satu cabang perniagaan sahaja selepas ini.

SUAMI, Muhammad Ikhdhofi Zuhari merupakan tulang belakang dan sumber inspirasi Scha untuk terus berdaya saing dalam perniagaan yang diasaskan.

“Belajar daripada pengalaman dan silap lampau, kami tekad untuk buka semula kilang selepas dua tahun tutup dan kali ini lebih fokus kepada tudung sahaja.

“Kesilapan lampau yang kami lakukan, semua cabang fesyen kami campur adik dalam satu kilang termasuk tudung, jubah, telekung, baju kurung dan sebagainya.

“Tapi pengalaman tersebut sedikit sebanyak memang mematangkan kami untuk terus belajar dan menggali ilmu tentang bidang perniagaan,” katanya.

Menurut Scha yang turut bertindak sebagai pengarah urusan syarikat, dia bersyukur kerana perniagaan yang diasaskan dan pernah ‘tersungkur’ satu masa dahulu kini mampu bersaing dan berdaya maju.

“Alhamdulillah, syarikat saya yang diberi nama Miz Ricco Sdn.Bhd yang ditubuhkan sejak beberapa tahun lalu kini mampu berdiri semula hingga ke saat ini.

“Tidak sekadar mengeluarkan produk sendiri, kami juga membantu para usahawan fesyen yang berminat untuk mempunyai jenama tudung sendiri.

“Tidak sekadar menawarkan dan menyediakan mesin jahitan dan cetakan, kami di kilangtudung.my juga membantu anda semua untuk memasarkan produk selain latihan serta bimbingan berterusan,” katanya menutup bicara.

Untuk pendaftaran dan mereka yang berminat menjadi ejen atau pengedar, sila hubungi 019-712 9786 dan 014-211 6796 atau Instagram    @kilangtudung.my. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI