SEPANG – Sebanyak 66,000 tin dan botol minuman keras bernilai RM181,595.07 dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam satu serbuan ke atas sebuah gudang di Kampung Telok Gong dekat Pelabuhan Klang pada 2 Ogos lalu.
Penolong Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) JKDM, Fazilah Ariff berkata, serbuan pada pukul 12 tengah hari itu dilakukan sepasukan pegawai JKDM susulan operasi risikan yang dilakukan pihaknya selama dua minggu.
“Menerusi serbuan itu, sejumlah 28,000 liter minuman keras bernilai RM181,595.07 disita melibatkan duti dan cukai sebanyak RM683,193.66.
“Ketika serbuan dilakukan, beberapa pekerja dilihat sedang memindahkan minuman keras ke dalam lori-lori kecil dan van sebelum dipercayai diedar ke pasaran,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Dengkil di sini, hari ini.
Menurut Fazilah, tiada tangkapan dilakukan sewaktu serbuan tersebut erana kesemua pekerja sempat melarikan diri sebaik melihat kehadiran pegawai JKDM.
“Pihak JKDM turut menyita sebuah lori kontena, dua buah lori tiga tan, sebuah lori satu tan dan sebuah van dengan nilai keseluruhan termasuk minuman keras RM1,249,788.73.
“Siasatan mendapati sebahagian minuman keras tersebut diimport dari luar negara serta ada yang bertanda ‘Malaysian Duty Not Paid (MDNP)’ yang jualannya hanya dibenarkan di tempat diwartakan sebagai bebas cukai sahaja,” katanya. -KOSMO! ONLINE.