PETALING JAYA – Ekonomi negara mencatat pertumbuhan yang lebih kukuh sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua tahun 2022 berbanding suku pertama hanya pada lima peratus.
Menurut Bank Negara Malaysia, meskipun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat sebahagiannya disebabkan oleh asas yang rendah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh pada bulan Jun 2021, pertumbuhan pada bulan April dan Mei 2022 menunjukkan prestasi yang kukuh.
Jelasnya, permintaan dalam negeri terus kukuh, disokong oleh pemulihan keadaan pasaran pekerja yang stabil dan sokongan dasar yang berterusan.
“Pertumbuhan yang lebih tinggi juga mencerminkan kegiatan ekonomi yang kembali normal apabila negara beralih ke fasa endemik dan sempadan antarabangsa dibuka semula,” katanya.
Bank pusat memaklumkan juga, eksport terus disokong oleh permintaan yang kukuh untuk produk elektrik dan elektronik .
Selain itu, pada suku kedua, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing meningkat sebanyak 2.8 peratus dan 2.5 peratus % (S1 2022: masing-masing 2.2 peratus dan 1.7 peratus).
Inflasi teras yang lebih tinggi mencerminkan keadaan permintaan yang bertambah baik dalam persekitaran kos yang tinggi dengan kenaikan harga yang didorong terutamanya oleh makanan di luar rumah dan barangan makanan lain.
Selain itu, mengenai ringgit menyusut nilai sebanyak 4.6 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku kedua tahun 2022, secara umumnya penurunan tersebut adalah sejajar dengan pergerakan mata wang serantau.
BNM menerangkan, hal ini sebahagian besarnya mencerminkan pengukuhan dolar AS yang berterusan berikutan dasar monetari AS menjadi ketat secara agresif, penghindaran risiko pelabur yang meningkat disebabkan oleh prospek pertumbuhan global yang lebih lemah dan konflik ketenteraan di Ukraine.
“Walau bagaimanapun, harga komoditi yang tinggi dan prospek pemulihan ekonomi Malaysia telah mengurangkan tekanan terhadap penurunan nilai ringgit disebabkan oleh perkembangan luaran pada suku itu,” ujarnya.