PUTRAJAYA – Masyarakat bukan Islam juga tidak menggemari persembahan jelik yang memaparkan aksi separa bertelanjang seperti yang tular di laman sosial baru-baru ini
Perkara itu didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad ketika ditanya berhubung isu penampilan model seksi pada Minggu Fesyen Kedah di Alor Setar baru-baru ini.
“Ketika berada di Pulau Pinang beberapa hari lalu, ada seorang berbangsa Cina datang mengadu mengenai persembahan artis luar yang mencolok mata.
“Dia merupakan penduduk lama di Bukit Mertajam yang mana mereka sendiri berasa tidak selesa dan bangkit protes apabila ada pertunjukan berbaur lucah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan projek ‘Wakaf Pertanian Bersepadu’ atau Laman Watani yang dilaksanakan anak syarikat milik penuh Yayasan Waqaf Malaysia di Presint 20, di sini hari ini.
Pada Isnin lalu, umat Islam di Malaysia gempar menerusi penularan foto seorang tetamu transgender berpakaian mencolok mata yang hadir di pusat beli-belah Aman Central, Alor Setar.
Ekoran insiden separa bogel itu, pihak berkuasa negeri Kedah memanggil penganjur acara tahunan tersebut kerana semakan awal mendapati mereka tidak memohon permit.- KOSMO! ONLINE