fbpx

Bauksit: RM54 juta kos tanam semula kelapa sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk Felda Bukit Goh, Zulkifli Zakaria menunjukkan tanah di belakang rumahnya yang telah ditarah pengusaha bauksit sedalam 9.1 meter dan sehingga kini terbiar begitu sahaja.

KUANTAN – Kira-kira RM54 juta diperlukan bagi proses penanaman semula kelapa sawit melibatkan tanah milik 402 peneroka Felda Bukit Goh yang terlibat dan terkesan dalam aktiviti perlombongan bauksit.

Kos penanaman semula itu melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,627 hektar meliputi tanah milik 194 peneroka yang terlibat dalam aktiviti perlombongan bauksit dan 208 peneroka yang tidak terlibat tetapi terkeluar daripada program penanaman semula.

Difahamkan kos penanaman semula bagi peneroka yang tidak melakukan aktiviti bauksit sekitar RM72,000, manakala bagi yang terlibat perbelanjaan me­ningkat sehingga RM200,000 bagi rawatan semula tanah setiap lot seluas kira-kira 4.04 hektar.

Seorang peneroka menunjukkan stok bauksit yang ditinggalkan di Felda Bukit Goh, Kuantan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah berkata, berdasarkan perbinca­ngan pihaknya dengan Felda baru-baru ini, agensi berkenaan bersedia membantu peneroka terlibat untuk penanaman se­mula atau melaksanakan program pembangunan lain.

Bagaimanapun, katanya, jika penanaman semula dilakukan, langkah itu sudah tentu melibatkan kos tinggi yang perlu ditanggung peneroka dan mereka juga berhadapan risiko kesuburan tanah meskipun melalui proses pemulihan semula.

“Kalau kawasan bauksit ba­nyak kos dan kalau pemulihan dilakukan pun dibimbangi akan turut menjejaskan hasil, malah peneroka perlu membayar kos ini yang dikira sebagai hutang.

“Apa pun kita mencari yang terbaik untuk peneroka dan segala keputusan akan dibuat selepas mendapat persetujuan semua peneroka terlibat, Felda menyatakan mereka sedia membantu,” jelasnya.

Berita berkaitan: Bauksit: Felda jangan senyap bantu 402 peneroka

Kosmo! sebelum ini melapor­kan 402 peneroka Felda Bukit Goh terumbang ambing sejak aktiviti pengeluaran bauksit dihentikan enam tahun lalu dan mereka juga turut terkeluar daripada program penanaman semula Felda.

Menurut Md. Sohaimi, pada masa ini antara cadangan yang dilihat sesuai adalah pemba­ngunan lembah solar yang dilihat tidak mempunyai banyak masalah dan menyediakan pendapatan kepada peneroka.

Bagaimanapun jelasnya, apa sahaja pembangunan termasuklah lembah solar perlu mendapat persetujuan peneroka dan satu perjanjian perlu dibuat demi menjamin masa depan mereka.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Gagasan 2 Generasi Kuantan (G2G), Jefri Salim berkata, kos pemulihan tanah yang begitu tinggi tidak mampu dibayar peneroka dan mereka akan terbeban dengan hutang baharu sekiranya penanaman semula dilaksanakan.

Ujarnya, pada masa ini keba­nyakan peneroka bersetuju de­ngan pembangunan di kawasan itu termasuk pelaksanaan lembah solar yang dijadual dilaksa­nakan dalam masa terdekat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI