SEREMBAN – Vokalis kumpulan XPDC, Ali melahirkan rasa rindu untuk kembali menyanyi semula selepas diuji dengan masalah kesihatan sehingga sukar bernafas pada Mac lalu.
Ali, 53, berkata, keadaan kesihatannya semakin baik tetapi dia masih mengalami kesukaran untuk melontarkan vokal selain percakapannya terbatas.
“Alhamdulillah saya sudah boleh bergerak dan menguruskan diri sendiri, masalah kesihatan sebelum ini telah menganggu suara, saya tidak mahu ambil risiko takut nanyi ‘flat’ (mendatar).
“Mungkin ini masa terbaik untuk saya berehat dahulu, jika Allah izinkan saya memang rindu untuk menyanyi semula,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Penerbitan Filem ‘Brother Gun’ di sini semalam.
Ali memberitahu, dia masih meneruskan rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur untuk proses pemulihan percakapan dan terapi lain.
Dalam nada sebak, Ali turut menitiskan air mata apabila bercerita mengenai pengorbanan isteri dan anak-anak yang menjaganya ketika sakit dan penguat semangat untuknya kembali pulih.
“Hidup mesti sentiasa tersenyum walaupun orang tak nampak kita sakit, menangis. Saya redha dengan takdir daripada Allah, saya akan berusaha untuk pulihkan diri.
“Sepanjang sakit, isteri banyak memainkan peranan penting kerana dia sentiasa menyokong saya selain anak-anak dan rakan yang mendoakan,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, pada 4 Mac lalu, Ali dikejarkan ke Hospital Ampang apabila secara tiba-tiba lemah ketika mahu makan selepas membuat latihan di studio milik pemain bass XPDC, Eddie dekat Pandan Indah dan terpaksa ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas.
Menurut Ali, dalam keadaan kesihatannya yang belum pulih dia tidak menghalang jika XPDC ingin mencari pengganti dirinya kerana mereka juga perlu meneruskan kelangsungan hidup dalam dunia seni. – KOSMO! ONLINE