PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima kunjungan hormat menghadap Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani, di Istana Negara di sini hari ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, majlis menghadap itu adalah pertama kali buat Sheikh Mohammed yang kini dalam rangka lawatan rasmi ke Asia termasuk Malaysia.
Menurutnya, sesi yang berlangsung selama 30 minit bermula pukul 11 pagi tadi, Seri Paduka Baginda dan Sheikh Mohammed menyentuh berkenaan hubungan dua hala yang erat terjalin antara Malaysia dan Qatar sejak 1974.
“Kedua-dua pemimpin turut menyentuh berkenaan usaha pengukuhan perdagangan dan ekonomi antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi termasuk cadangan peningkatan jalinan hubungan ke tahap perkongsian strategik di masa hadapan.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan dan mengalu-alukan syarikat-syarikat Qatar untuk terus mengembangkan perniagaan dan pelaburan di Malaysia termasuk dalam bidang pembangunan hartanah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan bahawa Malaysia bersedia untuk bekerjasama rapat dengan Qatar dalam kerjasama pasca pandemik Covid-19 termasuk kerjasama dalam pembangunan vaksin, ubat antivirus dan perkongsian pengalaman, penyelidikan serta kepakaran.
Jelasnya, Qatar merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dan destinasi eksport serta sumber import dalam kalangan negara-negara Asia Barat.
“Walaupun menghadapi cabaran ekonomi akibat pandemik Covid-19, jumlah perdagangan Malaysia dengan Qatar pada 2021 meningkat sebanyak 24.4 peratus kepada AS$634.2 juta (RM2.82 bilion).
“Jumlah eksport ke Qatar meningkat 31.9 peratus kepada AS$359 juta (RM1.6 bilion), manakala jumlah import dari Qatar meningkat 15.8 peratus kepada AS$275.1 juta (RM1.2 bilion),” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad Fadil memberitahu, Sheikh Mohammed menyampaikan persilaan Kerajaan Qatar kepada Seri Paduka Baginda untuk berangkat menyaksikan Piala Dunia yang mana menyaksikan negara itu sebagai tuan rumah temasya sukan tersebut. – KOSMO! ONLINE