PUTRAJAYA – Lebih 1,000 penduduk Admiral Residences di Melaka bakal menikmati sistem kemudahan jalur lebar gentian berkelajuan tinggi yang ditawarkan secara percuma selama lima tahun.
Fasiliti internet tersebut bakal dipasang penyedia penyelesaian konvergen terkemuka, Maxis yang dilantik oleh pemaju projek kediaman berstrata mewah itu, Tanjung Ratna Sdn. Bhd.
Menurut Ketua Segmen Perusahaan Kecil dan Sederhana Maxis, Kevin Lee, pembangunan sistem tersebut dijangka menjadi kondominium pertama di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan seumpama itu.
“Kami berbesar hati dilantik sebagai rakan kongsi dan kemudahan sebegini amat penting bagi memenuhi trend gaya hidup pengguna semasa,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Terdahulu beliau memeterai memorandum persefahaman dengan pemaju itu yang disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Mohammad Mentek dengan Tanjung Ratna Sdn. Bhd. diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Julian Lau.
Projek itu dibangunkan di kawasan seluas hampir lima hektar di Kota Laksamana, Bandar Raya Melaka dan terletak dua kilometer dari pusat bandar dengan pembangunan terdiri daripada empat blok setinggi 27 tingkat yang bakal menempatkan sejumlah 1,440 unit rumah harga mampu milik.
Mengulas lanjut, Kevin berkata, perkhidmatan internet itu akan diberikan secara percuma selama tempoh 60 bulan menerusi perkhidmatan 1.5 Gigabit setelah penghuni berpindah masuk. – KOSMO! ONLINE