fbpx

Tampil berhijab, Cita Citata tinggalkan muzik dangdut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cita Citata nekad meninggalkan muzik dangdut selepas mengambil keputusan untuk berhijab.

JAKARTA – Ketika ada penyanyi Malaysia kembali tidak bertudung atas alasan mahu menjadi diri sendiri, penyanyi dangdut terkenal Indonesia Cita Citata pula mengejutkan peminat apabila tampil dengan imej baharu dan mengambil keputusan berhijab.

Menurut laporan media Indonesia, penyanyi berusia 27 tahun itu berhijab tanpa paksaan mana-mana pihak sementelah sebenarnya sudah lama memasang impian untuk berimej sedemikian.

“Sebenarnya sudah lama saya berkeinginan untuk memakai hijab sejak dahulu lagi tanpa paksaan daripada orang lain.

“Mungkin hubungan saya dengan kekasih, Didi Mahardika (ahli politik) turut menjadi antara faktor yang mendorong saya untuk mengubah imej yang lebih baik. Tetapi dia tidak pernah memaksa saya untuk berhijab,” katanya.

Bukan sahaja mengejutkan peminat dengan imej baharu, bahkan penyanyi yang popular dengan lagu Goyang Dumang itu turut membuat pengumuman untuk meninggalkan muzik dangdut yang selama ini mempopularkan namanya.

Pemilik nama lengkap Cita Rahayu itu enggan lagi menyanyikan lagu dangdut dan nekad beralih ke genre pop.

“Benar. Saya tidak lagi menyanyikan lagu dangdut. Sebenarnya sejak dari awal tahun lalu saya sudah melancarkan dan fokus dengan lagu pop.

“Saya juga tidak lagi menerima tawaran untuk membuat persembahan menyanyikan lagu-lagu dangdut,” katanya.

Ketika disoal media tentang keputusannya untuk meninggalkan muzik dangdut, Cita Citata memberi alasan bahawa dia mahu mengembangkan lagi bakat nyanyiannya menerusi genre muzik berbeza.

“Saya sudah puas menjadi penyanyi dangdut. Biarlah perkara itu menjadi antara kenangan dalam hidup saya. Sekarang saya mahu mempamerkan bakat nyanyian menerusi genre muzik pop pula,” jelasnya.

Pada masa sama, Cita Citata turut mengakui sukar untuknya memperkenalkan sisi baharu sebagai penyanyi pop ekoran peminat sudah mengenalinya sebagai penyanyi dangdut.

“Sangat susah untuk menarik perhatian peminat kerana mereka tahu saya merupakan seorang penyanyi dangdut. Saya masih orang yang sama, cuma berbeza genre muzik sahaja.

“Saya harap peminat dapat terus memberikan sokongan pada saya,” katanya.

Selain Goyang Dumang, penyanyi kelahiran Bandung itu turut popular menerusi beberapa buah lagu lain antaranya Sakitnya Tuh Disini, Perawan Atau Janda, Jangan Ganggu Pacarku dan Ayo Goyang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI