fbpx

Sudah bersedia ke tanggung dosa? PU Syed tegur Aliff Syukri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pendakwah bebas dan Pencetus Ummah (PU), Syed Mohd Bakri Syed Ishak memberi teguran kepada usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri supaya membatalkan hasrat melancarkan muzik video lagu dangdut terbaharu yang disifatkan keterlaluan.

Katanya, lagu tersebut tidak salah andai menyelitkan unsur positif, namun paparan muzik video (MV) yang dikongsi lebih kepada menonjolkan aksi menari bersama seorang artis wanita yang turut meninggalkan impak kepada keluarganya.

“Sekali lagi Aliff Syukri buat kontroversi dengan merakamkan album atau lagu dangdut terbaharu. Saya tak pasti sama ada sedar atau tak perbuatan merakamkan lagu dangdut kalau berunsur keagamaan atau bagi nasihat tak jadi masalah.

“Tapi jemput artis yang goyang gerudi dan macam-macam. Saya tak kenal siapa artis tersebut. Cuma saya harap pihak Alif Syukri tidak menerbitkan lagu ini dan tidak didedahkan kepada masyarakat. Ini bukan sesuatu yang sihat.

“Bayangkan anak kamu melihat wahai Aliff Syukri, isteri kamu yang menutup aurat itu melihat, anak perempuan kamu, anak lelaki kamu dan ibu kamu melihat perbuatan kamu sekarang.

“Apa yang kamu mahu dedahkan kepada masyarakat,” katanya menerusi perkongsian video di Instagram.

Tambah PU Syed lagi, usahawan terbabit seolah-olah sengaja mahu mencetuskan sesuatu perkara yang mendatangkan kemungkaran supaya terus diperkatakan orang.

“Cukup kenyangkah kamu dengan kecaman orang? Sering kali kamu keluarkan kontroversi sampai terpaksa orang lain pula bagi nasihat.

“Adakah kamu nak (suka) macam itu? Adakah kehidupan kamu untuk menyenangkan perut hati kamu semata-mata? Tidakkah kamu suka menggembirakan agama Allah SWT.

Cukuplah kemungkaran yang berlaku di depan mata. Jangan tambah lagi,” luah pendakwah bebas yang sememangnya terkenal dengan kelantangan dalam memberi teguran.

Pada masa sama, PU Syed turut berharap individu berpangkat sepertinya dapat membuat pertimbangan dengan wajar sebelum melakukan perbuatan dilarang agama.

“Adakah kamu bangga dengan pangkat Datuk Sri? Datuk atau Tun sekali pun kami ada (tegur) untuk mencegah kemungkaran.

“Kamu ada nama dan pangkat, tolonglah berfikir sebelum melakukan perbuatan mungkar. Fikir halal haram, fikir pahala dan dosa dan fikir mati kita.

“Saat kematian kita bagaimana. Adakah kamu bersedia untuk menanggung segala dosa penonton yang menonton video dangdut mengarut kamu ini?

“Fikirkan bersama wahai Aliff Syukri. Datuk Sri minta maaf saya tak sebut pangkat. Yang penting nama kamu Aliff Syukri, yang penting kamu takut kepada Allah SWT lebih daripada kamu takut kehilangan harta sendiri,” katanya.

Terdahulu, teguran PU Syed berpunca daripada perkongsian video promosi di Instagram mengenai pelancaran lagu dangdut berjudul Baby Sayang berserta tarikh tayangan MV tersebut.

Klip promosi tersebut memperlihatkan teman duet, Baby Shima menari sambil mereka menyanyikan dendangan yang bakal dilancarkan pada 17 Ogos ini.

Sebelum ini pendakwah terbabit sering memberi ‘takzirah’ kepada Aliff yang menjadi antara personaliti popular yang tidak putus mencetuskan kisah sensasi.

Terdahulu, sekitar awal tahun ini bapa kepada lima cahayamata itu pernah menyatakan mahu mengurangkan kontroversi bagi mengelakkan anak-anak mendapat malu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI