fbpx

Stesen minyak seleweng diesel bersubsidi diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEGAWAI penguat kuasa memeriksa tangki plastik berisi minyak diesel bersubsidi yang dirampas dalam serbuan di stesen minyak di Pusing, Batu Gajah semalam./FOTO IHSAN KPDNHEP PERAK

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak berjaya mematahkan cubaan menyeleweng minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Pusing dekat sini, semalam.

Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, serbuan sekitar pukul 2.30 petang itu dilakukan hasil maklumat orang awam dan intipan yang dijalankan selama dua minggu.

Katanya, ketika serbuan dijalankan, terdapat sebuah lori bertutup kanvas sedang mengisi minyak diesel di stesen tersebut yang mana terdapat cecair disyaki minyak diesel disimpan di dalam dua tangki plastik di atas lori berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati saluran tangki asal minyak lori terbabit telah diubah suai dan disambungkan dengan dua tangki tersebut.

“Semakan lanjut mendapati pemandu lori juga tidak mempunyai sebarang dokumen atau permit yang sah bagi membeli minyak diesel,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Susulan itu, pemandu lori berumur 41 tahun ditahan untuk siasatan lanjut manakala 1,400 liter minyak diesel dengan nilai sitaan berjumlah RM14,160 dirampas.

Katanya, tindakan juga diambil ke atas stesen minyak tersebut kerana menjual barang kawalan kepada individu yang tidak mempunyai permit yang sah.

“Kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI