fbpx

Seludup PATI dari Kota Bharu ke Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN tiga PATI wanita Myanmar yang disumbat di bonet belakang sebuah kereta.

SHAH ALAM – Perjalanan seorang lelaki menyeludup enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dari Kota Bharu, Kelantan ke Klang dekat sini terbongkar dalam sekatan jalan raya (SJR) di Persiaran Tun Teja Alam Impian di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari ini, kesemua yang ditahan termasuk lelaki tempatan itu berusia 18 hingga 36 tahun.

Semasa penahanan dilakukan, didapati tiga PATI wanita disumbat di bonet belakang kereta jenis Nissan Teana berwarna hitam itu yang telah menempuh perjalanan sejauh kira-kira 480 kilometer.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati lelaki tempatan berusia 31 tahun itu dibayar upah sebanyak RM300 bagi setiap seorang PATI yang dibawa dari Kota Bharu untuk bekerja di Klang.

Katanya, upah itu akan diterima daripada individu yang dikenali dengan nama panggilan “Pok Sey”.

“Ketika pemeriksaan SJR dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah ini didapati tiga lelaki warga Myanmar berada di bahagian penumpang belakang manakala tiga lagi wanita disembunyikan dalam bonet belakang kereta.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua warga asing itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Mohd. Iqbal, pemeriksaan lanjut terhadap beg yang dipakai oleh tekong darat itu menemui peralatan menghisap dadah.

Tambah beliau, turut ditemukan adalah sebungkus plastik mengandungi 50 biji pil berwarna merah yang dipercayai pil kuda.

“Suspek warga tempatan itu kini direman 28 hari mengikut Seksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah Khas) 2012 manakala enam PATI Myanmar direman selama 14 hari.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 26A Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI