LONDON – Seorang remaja lelaki di Britain yang bersembunyi di dalam patung beruang selepas mencuri sebuah kereta dijatuhi hukuman penjara selama sembilan bulan, lapor akhbar Daily Star semalam.
Joshua Dobson, 18, pada Mei lalu dilaporkan mencuri sebuah kereta di bandar Rochdale dan juga tidak membayar harga petrol.
Polis yang memeriksa rumahnya kemudian menemui remaja berkenaan di dalam sebuah patung beruang besar selepas menyedari ia ‘bernafas’.
“Seorang pencuri kereta yang dikehendaki polis telah dijatuhi hukuman penjara selama sembilan bulan. Dia diberkas semasa bersembunyi di dalam patung beruang.
“Joshua Dobson dari Spotland dikehendaki polis selepas mencuri kereta pada Mei lalu dan tidak membayar wang setelah mengisi petrol pada hari sama,” kata Polis Great Manchester, Rochdale dalam satu kenyataan di Facebook.
Tambah kenyataan sama, ketika polis pergi ke rumah Dobson untuk memberkasnya, anggota-anggota polis menyedari terdapat patung beruang besar sedang ‘bernafas’ sebelum menemui remaja itu di dalam perhiasan tersebut.
“Dia dimasukkan ke penjara selepas dijatuhi hukuman minggu lalu atas kesalahan mencuri kenderaan bermotor, memandu ketika hilang kelayakan dan melarikan diri dari stesen minyak minyak tanpa membayar,” ujarnya. – Agensi