SUNGAI PETANI – Dua mangsa yang merupakan pasangan tunang maut selepas motosikal dinaiki merempuh belakang sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 103 Lebuh Raya Utara-Selatan di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.55 malam itu, penunggang motosikal jenis Yamaha Avantis iaitu Anis Anisha Md. Ishak, 24, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Sementara pembonceng yang merupakan tunangnya, Mohamad Fadhil Zil Ikram Mohamad Tarmizi, 19, mengalami kecederaan dalaman meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini kira-kira lima jam kemudian.
Difahamkan, mereka dipercayai dalam perjalanan dari Sik dekat sini ke Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan mendapati pemandu treler terpaksa memberhentikan kenderaan itu di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan enjin.
“Pemandu itu telah memaklumkan kepada pihak PLUS serta meletakkan kon di belakang treler.
“Motosikal yang ditunggang Anis Anisha dipercayai gagal mengelak ketika melalui kawasan itu sebelum merempuh bahagian kanan belakang treler,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE