fbpx

Melaka tamatkan kebenaran solat Jumaat di 230 surau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL Halim ketika ditemui pemberita pada program Hari Bertemu Pelanggan dan Sambutan Minggu Kesedaran Derma Organ di Melaka, hari ini.

JASIN – Kebenaran melaksanakan solat Jumaat di 230 buah surau di negeri ini sejak lebih dua tahun lalu susulan penularan pandemik Covid-19 ditamatkan berkuat kuasa 19 Ogos depan.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, perkara itu diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) 3 Ogos lalu yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Jelas beliau, keputusan MMKN itu selaras dengan saranan Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka yang bersidang pada 27 Jun 2022 untuk menamatkan kebenaran sementara tersebut.

“Ini bermakna 12 Ogos adalah Jumaat terakhir bagi semua surau berkenaan dan selepas tarikh tersebut semua anak kariah hendaklah menunaikan Solat Jumaat di masjid kariah.

“Antara justifikasi penamatan ini adalah ruang masjid masih boleh menampung kapasiti jemaah pada satu-satu masa, mengimarah serta meninggikan syiar Islam di masjid dan mengukuhkan perpaduan masyarakat melalui penglibatan aktiviti masjid,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Hari Bertemu Pelanggan dan Sambutan Minggu Kesedaran Derma Organ di sini, hari ini.

Tambahnya, daripada jumlah itu terdapat dua surau sementara di kariah Masjid Serkam Darat dan Masjid Kampung Gelam, Tangga Batu yang dibenarkan digunakan untuk solat Jumaat susulan masjid berkenaan dalam proses pengubahsuaian dan pembinaan semula.

Sementara itu, mengenai kumpulan Hadi Minallah di Melaka, Abdul Halim memaklumkan, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang laporan atau pengakuan pihak yang terlibat dengan gerakan tersebut.

Bagaimanapun, pihak berkuasa agama sedang giat mengesan dan memantau sekiranya terdapat rakyat negeri ini yang terpengaruh dengan ajaran tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI