JAKARTA – Presiden Joko Widodo (Jokowi) mengakui berasa terkilan apabila ada rakyat Indonesia yang memilih untuk mendapatkan rawatan di luar negara berbanding secara domestik, lapor laman berita Kompas, semalam.
“Saya sedih apabila mendengar ada rakyat negara kita yang sakit, kemudian mereka pergi ke luar negara seperti ke Malaysia, Singapura, Jepun malah Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan rawatan,” kata Jokowi.
Beliau turut mendedahkan bahawa wang yang dibelanjakan untuk membiayai rawatan warga Indonesia di luar negara adalah melebihi 110 trilion rupiah (RM32 bilion) setiap tahun.
Justeru, Jokowi mengalu-alukan inisiatif Gabenor Kalimantan, Sutarmidji yang memohon pembiayaan pemerintah pusat untuk membeli peralatan perubatan di Hospital Besar Wilayah dr. Soedarso.
Pemerintah wilayah Kalimantan Barat juga telah membiayai pembinaan bangunan hospital tersebut dengan kos dianggarkan berjumlah 205 bilion rupiah (RM61 juta).
Sementara itu, Jokowi turut menghargai pembinaan dua menara Hospital dr. Soedarso yang mempunyai 277 katil serta dewan bedah dan unit rawatan rapi (ICU) yang moden.
“Saya menyeru kepada rakyat Indonesia bahawa kita semua tidak perlu ke luar negara untuk mendapatkan rawatan kerana hospital tempatan sudah bersedia dan mencukupi untuk mengendalikan kes sedia ada,” katanya. – Agensi