RANTAU PANJANG – Cubaan seorang pemandu lori membawa masuk sebanyak 1.45 tan daun ketum ke negeri ini gagal selepas ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan di persimpangan lampu isyarat di Ketereh, Kota Bharu kelmarin.
Suspek berusia 22 tahun dan berasal dari Tumpat ditahan pada pukul 4 pagi selepas Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang mengekori kenderaan tersebut dari Tanah Merah hingga ke Ketereh.
Pengarah JKDM Kelantan, Mohd. Nasir Deraman berkata, pemeriksaan di ruang belakang lori menemui 145 bungkusan plastik hitam berisi 1.45 tan daun ketum bernilai RM14,500.
Siasatan mendapati lori itu dipandu suspek dari Kedah dengan membawa muatan daun ketum dipercayai untuk dijual di negeri ini.
“Sindiket yang menjalankan kegiatan penyeludupan daun ketum itu juga dikesan menggunakan helah menukar pemandu lori untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
“Kita sedang mengesan pemilik daun ketum yang dipercayai berada di Kedah,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang di sini hari ini.
Mohd. Nasir memberitahu, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – KOSMO! ONLINE