BANDAR RAYA NEW YORK – Firma lelongan Sotheby’s mengumumkan jualan jersi milik bintang bola keranjang, Michael Jordan dengan harga bidaan dijangka mencecah hingga AS5 juta (RM22.2 juta), lapor agensi berita United Press International (UPI), kelmarin.
Jersi berwarna merah pasukan Chicago Bulls itu dipakai Jordan semasa perlawan akhir NBA pada 1998.
Bidaan akan bermula pada 6 September ini. Jordan dilihat memakai jersi itu dalam dokumentari, The Last Dance baru-baru ini.
“Musim 1997 hingga 1998 mungkin salah satu zaman paling popular dalam kalangan peminat Jordan kerana ia merupakan zaman kemuncak kehebatannya dalam sejarah NBA.
“Musim itu sendiri adalah ‘magnum opus’ atau momen terbaik sepanjang karier Jordan sebagai seorang atlet” kata Ketua Jualan Pakaian Jalanan dan Koleksi Barangan Sotheby’s, Brahm Wachter dalam satu kenyataan berita.
Koleksi jersi akhir daripada Jordan sangat sedikit dan helaian yang diperoleh menerusi perlawanan akhir 1997 hingga 1998 boleh digambarkan yang paling diidamkan peminat setia bintang itu. – Agensi