KUALA LUMPUR – Kebanyakan industri PKS (perusahaan kecil dan sederhana) tidak memiliki kekuatan modal dan keupayaan meneroka pasaran baharu antara kekangan dihadapi berhubung industri hiliran di negara ini, biarpun ia mempunyai potensi yang besar.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kekangan lain turut dihadapi ialah industri oleokimia hiliran tempatan memerlukan kemajuan teknologi yang dimiliki oleh syarikat luar negara dan ia melibatkan kos tinggi.
“Seterusnya, kekurangan bekalan bahan mentah untuk diproses menjadi terbitan oleokimia bernilai tambah tinggi selain syarikat tempatan perlu mencipta pasaran baharu untuk mengelakkan persaingan pasaran.
“Kekangan lain ialah pelaburan dalam sektor terbitan oleokimia dilihat berisiko tinggi kerana produk berasaskan oleokimia sawit boleh diganti dengan oleokimia daripada sumber minyak sayuran lain dan petrokimia,” katanya menerusi jawapan lisan pada Persidangan Dewan Negara di Parlimen di sini hari ini.
Dalam pada itu, Zuraida berkata, bagi mengatasi masalah ini, kementeriannya melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sentiasa proaktif dalam menerajui usaha-usaha memperkukuh dan meningkatkan daya saing industri hiliran sawit negara.
Katanya, ia dengan mempergiatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta memberi nilai tambah kepada produk hiliran sawit.
“Produk nilai tambah daripada oleokimia sawit telah ada yang dikomersialkan dan ada yang masih di peringkat pra-pengkomersialan.
“Penyelidikan dalam bidang ini giat dijalankan bagi menghasilkan formulasi atau produk baharu yang mampu memberi nilai tambah kepada minyak sawit Malaysia bagi memastikan sektor sawit terus berdaya saing di pasaran minyak dan lemak antarabangsa,” katanya.
Antara contoh produk industri hiliran kelapa sawit seperti minyak sawit merah, tocotrienol, lemak mentega alternatif, sapuan coklat, marjerin dan lelemak untuk biskut atau kek serta aiskrim. – KOSMO! ONLINE